Ramadhan Seorang Wanita
Istimewanya Ramadhan seorang wanita, dalam hidupnya akan ada beberapa fasa yang berbeza dan setiap darinya unik dan istimewa. Bagi diri saya sendiri yang telah melepasi beberapa fasa dalam hidup, ingin saya berkongsi bagaimana seorang wanita boleh memanfaatkan setiap fasa hidupnya, meskipun berbeza-beza cabarannya.
Fasa Bujang
Masa bujang ini boleh dikatakan ‘era’ paling rancak dan aktif bagi seorang wanita. Bermula sebelum Ramadhan, dia boleh merancang bersama ahli rumahnya untuk menjemput sahabat handai iftar di rumah, juga dalam menyediakan juadah-juadah yang enak berbagai warna dan jenis. Rumah pula boleh dihiasi dengan poster-poster Ramadhan dan hiasan-hiasan indah sempena menyambut bulan yang mulia.
Sekali sekala, dia bertarawih dengan ahli-ahli rumah, kemudiannya dapat berkongsi sedikit tazkirah, bertadarus atau sekadar memberi semangat sesama sendiri untuk berlumba-lumba menambah pahala. Tarawih di masjid, sudah pasti! Kalau boleh setiap malam nak pergi, dan kalau larat nak buat sampai 20 rakaat. Pulang ke rumah makan moreh pula. Masa yang agak kurang menarik adalah masa ‘cuti’, sebab orang lain semua puasa, terpaksa makan curi-curi, atau cari ‘geng’ untuk makan dalam bilik. Tapi pada masa yang sama, dia boleh merasa masakan, bertuahlah ahli rumah dia sebab lauk hari tu tak tawar seperti kebiasaannya. Yang pasti, terlalu banyak peluang menambah pahala dan membuat amalan kebaikan.
Sabda Rasulullah SAW,
“ Siapa yang melaksanakan kewajiban, seperti melaksanakan 70 kewajiban di bulan lain”(HR Al-Uqaili, Ibnu Huzaimah, Al-Baihaqi, Al-Khatib dan Al-Asbahani)
Fasa Berkahwin
Masa berkahwin pula tak jauh bezanya, Cuma kini dia perlu merancang aktiviti Ramadhan bersama suaminya. Ramadhan pertama semestinya ingin berbuka puasa bersama suami dengan juadah yang istimewa. Sekali-sekala ada jemputan iftar daripada sahabat-sahabat, tapi kalau tidak mesti berbuka di rumah. Kalau dulu, boleh bergilir memasak, tapi kini perlulah merancang nak masak apa setiap hari. Bazaar Ramadhan pula takde di ‘overseas’ ni, kenalah belajar buat kuih-muih Melayu idaman suaminya. Sahur pula, kejutkan suami untuk bersahur bersama, kemudian dapat qiyamullail bersama dikesempatan itu. Bila subuh, boleh ikut suami ke masjid untuk solat berjemaah. Di fasa ini, mungkin dah kurang peluang merasai berpuasa dan beribadah dengan sahabat-sahabat, tapi amalan seorang isteri itu, berkali ganda ganjarannya jika diniatkan ikhlas kerana Allah.
Fasa Mengandung
Bila sudah mengandung, seorang wanita pastinya gembira tidak terkira. Namun begitu, di fasa ini tiba masa yang sedikit mencabar dalam hidup seorang wanita. Membawa seorang anak yang membesar di dalam uterusnya bukanlah suatu yang mudah. Di peringkat awal, muntah-muntah, loya dan kepenatan yang teramat menjadikan dia sering lesu dan tidak bermaya. Selera makan juga tidak menentu.
Bila tiba bulan yg mulia, hatinya teringin berpuasa seperti sahabat-sahabatnya, namun tidak tahu adakah dia mampu dalam keadaannya yang tidak seperti dahulu. Apabila tiba peringkat terakhir kandungan pula, perut sudah memboyot, kaki membengkak dan sakit belakang kerana membawa bayi yang sudah besar. Tatkala orang lain dapat mengerjakan solat tarawih hingga 20 rakaat, dia hanya mampu melaksanakan 8 rakaat, itupun terpaksa solat duduk dan termengah-mengah. Ada masanya dia hanya solat tarawih bersendirian di rumah oleh kerana kesihatan yang tidak mengizinkan.
Oleh kerana itulah, Islam sudah ada menggariskan bahawa wanita hamil dan menyusu dibenarkan untuk berbuka puasa dan menggantinya di kemudian hari.
Dalam satu riwayat dari Anas bin Malik al-Ka’bi, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajiban berpuasa.”(HR at-Tirmidzi , an-Nasa’i , Abu Dawud, Ibnu Majah. Sanadnya hasan sebagaimana pernyataan at-Tirmidzi)
Indahnya Islam, Allah yang maha Esa dan Maha Mengetahui keadaan seorang ibu di saat dia mengandung dan menyusui anak sudah siap menetapkan hukum syariat bagi mereka dalam hal ini.
Fasa Bergelar Ibu
Bila sudah dikurniakan anak, lain pula ceritanya. Di waktu bayi masih kecil, dia perlu menyusui anak. Keperluan nutrisi dan air yang diperlukan oleh badannya meningkat. Dalam membesarkan seorang anak kecil melalui penyusuan, tenaga yang dikeluarkan oleh ibunya lebih tinggi dari biasa menyebabkan si ibu lebih mudah keletihan dan mengalami dehidrasi. Oleh kerana itulah, Islam memberikan rukhsah bagi ibu-ibu yang menyusu untuk tidak berpuasa seperti dalam hadith di atas.
Di saat orang lain dapat menjalani ibadah berpuasa, dia terpaksa meninggalkan puasa. Sudah berkali-kali dicuba berpuasa, tetapi si bayi kecil menangis kelaparan sepanjang hari. Maka doktor menasihatkannya untuk tidak berpuasa. Pengalaman ini mungkin berbeza bagi setiap wanita, ada yang mampu berpuasa penuh, ada yang berpuasa selang sehari, dan ada juga yang tidak mampu berpuasa langsung. Tapi yang pasti Islam sudah memberi keringanan bagi mereka.
Semasa tarawih di masjid pula, susah untuk dia khusyuk oleh kerana bayi yang seringkali menangis semasa solat berlangsung. Bagi yang mempunyai anak kecil pula, hati tidak tenang kerana melihat anak yang berlari ke sana ke mari, takut mengganggu jemaah pula.
Begitulah cabaran seorang ibu dalam melaksanakan ibadah. Namun begitu, tidak bermakna pahala mereka berkurang dengan adanya kesukaran-kesukaran ini. Dengan menjaga dan membesarkan anak itu sendiri dengan penuh kasih sayang, pastinya banyak pahala dan kebaikan yg dikurniakan Allah buatnya disebabkan kesabaran dan mujahadah si ibu. Waktu rehat, makan minum dan tidur malamnya tidak menentu, kerana itulah tugas seorang ibu, kasih sayangnya tidak terbatas. Begitu juga apabila dia memasak dan melayani suaminya, di situ juga adanya ganjaran yang berganda-ganda diperolehnya jika dilakukan ikhlas kerana Allah.
Terdapat satu hadis yang menjamin pahala untuk para isteri, iaitu seorang wanita yang melayan suami dengan baik pahalanya menyamai jihad, solat jamaah, solat jumaat dan mengiringi jenazah. Dan redhanya suami kepada mereka merupakan pintu untuk mereka masuk syurga.
Peluang-peluang ini tidak diperoleh bagi mereka yang belum berkahwin ataupun bergelar ibu, maka sudah pastilah Ramadhannya begitu istimewa meskipun berbeza!
Fasa-fasa seterusnya…
Meskipun saya belum lagi melalui fasa-fasa yang seterusnya, pastinya hari-hari kemudiannya tetap istimewa bagi seorang wanita. Dalam mendidik anak-anak yang pelbagai ragam, melayani suami dengan pelbagai permintaannya, penglibatan dalam aktiviti masyarakat dan pada masa yang sama ada juga yang bekerja dan tidak lari daripada kepenatan dan ‘stress’ di tempat kerja. Sekilas pandang, hidup seorang wanita ini begitu mencabar, namun disitulah peluangnya untuk bermujahadah dan merebut pahala yang berganda-ganda, dengan satu syarat, iaitu dengan memastikan niatnya sentiasa ikhlas kerana Allah SWT.
Oleh itu, jangan bersedih wahai saudara-saudara wanitaku, rebutlah peluang untuk beramal, walau di fasa mana sekalipun. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik daripada tahun sebelumnya, inshaAllah!
Marlina Ab Rahman @ Ummu Aseeyah
Ketua Biro Wanita
ISMA Australia (Victoria)
Doktor Pelatih di Frankston Hospital
Credit to ISMAVICTORIA

